Search

HUBUNGAN JOHOR-SINGAPURA TERUS TERJALIN KUKUH HASI...

  • Share this:

HUBUNGAN JOHOR-SINGAPURA TERUS TERJALIN KUKUH HASIL KERJASAMA ERAT SULTAN IBRAHIM

Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama secara berterusan bersama Yayasan Temasek dari Singapura menyampaikan sumbangan berupa pelitup muka, bekalan perubatan serta khemah kubik kepada Kerajaan Negeri Johor.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Istana Polo, Johor Bahru dengan keberangkatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh.

Sebanyak 300,000 unit pelitup muka berkualiti tinggi serta anti bakteria jenama Livinguard disampaikan untuk kegunaan pelbagai pasukan barisan hadapan termasuk Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johor Military Force).

Manakala, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima sumbangan bekalan peralatan serta perkakasan dialisis bagi pesakit yang menjalani rawatan
Terapi Penggantian Renal Berterusan (CRRT) dan hemodialisis.

Sebanyak 16,000 unit khemah kubik disampaikan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Johor bagi kegunaan penduduk yang terjejas akibat bencana alam serta di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, Menteri Johor, Dato’ Hasni Mohammad berkata, pihaknya menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan kepada Baginda Tuanku Sultan dan Yayasan Temasek diatas sumbangan kepada Kerajaan Johor.

“Sumbangan yang diterima ini khususnya bekalan dan peralatan perubatan penting untuk mempertingkatkan keupayaan rawatan di hospital di negeri ini,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh, berkata sumbangan secara berterusan yang diterima ini melambangkan kerjasama kukuh DYMM Sultan Johor bersama Kerajaan Singapura dan Yayasan Temasek.

“Hubungan Johor dan Singapura serta Yayasan Temasek terus terjalin kukuh hasil kerjasama erat DYMM Sultan Johor,” katanya.

#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor


Tags:

About author
not provided